Thursday 31 December 2015

Cerita Di Belakang Ip Man 3

Sudah lama saya tidak menonton wayang. Malam ini saya kembali mencuri masa saya untuk menonton filem Ip Man 3. Saya mempunyai rekod yang agak buruk dengan wayang. Majoriti filem yang yang tonton, saya akan habiskan masa dengan tidur di dalam pawagam. Itulah saya, orang yang cepat berasa bosan.

Malam ini saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton filem baru di pawagam. Bukan kerana cerita Ip Man 3, tetapi saya pergi kerana pelawaan sahabat untuk tonton bersama. Saya secara peribadi tidak mahu melepaskan peluang ini. Jika ada masa pasti saya akan sedaya upaya meluangkan masa bersama sahabat. (Hayati maksud saya ini sebaik mungkin)

Saya telah menonton trailer filem Ip Man 3 ini beberapa bulan yang lalu. Cukup tertarik dengan penampilan istimewa, Mike Tyson dalam filem ini. Pertarungan yang dinanti-nanti dalam filem ini pasti antara Ip Man dan Mike Tyson.

Setelah saya menonton filem ini, saya sedikit berasa hampa. Saya tidak menjangkakan Ip Man hanya bertarung dengan Mike Tyson untuk 3 minit sahaja. Saya beranggapan, pertarungan mereka adalah pertarungan akhir untuk filem ini. Sebagai kredit, saya memuji pertarungan ini. Perlu diakui Mike Tyson memang kuat dan dia tidak pandai berlakon.

Benar, filem ini cukup sukar untuk saya ramal. Mungkin kerana sudah lama tidak ambil kisah akan filem-filem di pawagam. 

Saya akui, saya telah mendapat input yang sangat baik dari filem ini.

" Hargai kasih sayang orang yang berada di sekeliling kita "

Itu adalah dialog Ip Man (Seingat memori saya) selepas perlawanan akhir dalam filem ini. Dialog itu cukup menyentuh hati saya.

Saya bongkarkan perjalanan filem ini. Isteri Ip Man telah di-diagnos menghidap kanser rahim (Jika saya tidak salah). Selepas Ip Man mengetahui akan perkara ini, dia telah mengekang keinginan dia berkungfu dan meluangkan lebih masanya bersama isteri.

Seperti yang kita maklum, pejuang kanser ini memerlukan sokongan moral yang cukup kuat. Ini adalah alasan paling kukuh untuk mereka berjuang untuk terus hidup. Ip Man berjaya dalam misi ini. Dia sanggup belajar menari (Membalas kesilapan pada awal filem) untuk menggembirakan hati isterinya.

Seorang isteri pasti tahu apa keinginan suaminya. Sebelum isteri Ip Man pergi, dia ingin melihat pertarungan terakhir Ip Man. Ini adalah pertarungan mengembalikan maruah Ip Man. Saya memuji tindakkan Ip Man kerana memilih untuk bertarung tanpa hebahan media dan orang ramai.

Kata sahabat: 

" Itulah HERO yang sebenar, dia tidak memerlukan banyaknya Like, Share untuk membuktikan dia hero "

Perlu juga saya nyatakan, Ip Man adalah contoh suami yang sangat baik. Bila dia salah, kesalahan itu akan dia akui. Ini adalah perkara yang digemari seorang isteri. Seperkara lagi, Ip Man sangat tenang orangnya dan suka menguntumkan senyuman. Mungkin ini boleh jadi contoh buat diri kita. 

Selebihnya saya biarkan anda menonton filem ini. Saya tidak mahu mematikan keinginan anda untuk merasai unsur kejutan dalam setiap filem yang ditonton.

Seperti apa yang telah saya nyatakan di atas tadi, saya menonton filem Ip Man ini bukan kerana filem ini. Saya menonton kerana sahabat. 

Sebagaimana Ip Man nyatakan,

" Hargai kasih sayang orang yang berada di sekeliling kita "

Sekian,

Amer Gerrard 
The Typewriter 



Friday 25 December 2015

INSAN - Kasih Gelandangan : Bab 1

Initiative For Malaysian Humanitarian (INSAN) adalah NGO baru yang ditubuhkan oleh anak muda. Penubuhan ini datang dari kesedaran sekumpulan anak muda akan situasi yang berlaku dewasa ini. Boleh juga dikatakan, INSAN mengembalikan memori zaman mahasiswa sewaktu gerak kerja di dalam dan luar kampus.

INSAN mempunyai 4 fokus utama iaitu:

1. Homeless
2. Orang Kurang Upaya (OKU) 
3. Miskin Bandar 
4. Bencana Alam


Fokus utama saya untuk entri kali ini adalah berkaitan homeless.

Hari ini, 25 Disember 2015, Jumaat adalah program kedua INSAN menyantuni masyarakat yang perlukan perhatian ini, homeless. Program pertama INSAN telah diadakan pada 18 Disember 2015, Jumaat lepas. Pihak INSAN telah menetapkan aktiviti untuk membantu homeless ini akan diadakan pada setiap Jumaat malam (1 minggu 1 kali).

Kata saudara Azan Safar:

"Kita melakukan program ini adalah salah satu tugas kita selaku manusia untuk membantu manusia yang lain" 
 
Alhamdulillah, pada hari ini kami dapat menyediakan 100 bungkus makanan untuk mereka. Kawasan sasaran kami adalah di belakang Segi Kolej. Benar, 100 bungkus makanan ini sememangnya tidak cukup untuk mereka semua. InsyaAllah akan berlaku pertambahan pada minggu-minggu yang seterusnya. 

Tidak sampai beberapa minit kami di sana, bungkusan makanan yang kami bawa telah habis diberikan kepada mereka. Ada juga dalam kalangan mereka yang kelihatan kecewa bila mana kami mengatakan makanan sudah habis. Kami juga berasa terkilan, dan memberitahu mereka, minggu depan kami akan datang lagi InsyaAllah. Sedikit sebanyak memberi kelegaan buat kedua-dua pihak.

Sempat juga kami meluangkan masa bersama masyarakat ini. Mereka memang sangat peramah. Bila bersama mereka, jadilah pendengar yang setia. Mereka akan bercerita dengan jujur mengenai perjalanan diri mereka.

Saya sempat bersama abang Nasir (Bukan nama sebenar). Abang Nasir berasal dari Sabah. Hampir 3 bulan dia tinggal bersama rakan-rakan yang lain di sini. Sebelum ini beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan yang agak besar di kawasan berhampiran. Tetapi beliau seperti ditipu majikan. Dia nekad untuk berhenti kerja dan mencari pekerjaaan lain.

Telah banyak pekerjaan yang beliau cuba, semuanya tidak kena dengan diri. Gaji yang diterima tidak mampu menanggung perbelanjaan harian yang terlalu tinggi. Abang Nasir tidak pernah berputus asa. Hingga ke hari ini, dia masih meneruskan usaha mendapatkan pekerjaan yang mampu menanggung perbelanjaan diri serta keluarga di kampung.

Abang Nasir juga berkata, memang setiap hari akan ada NGO dan individu yang datang memberi bantuan kepada mereka. Masyarakat di sini berasa sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan itu. Ada yang datang membawa makanan, dan ada juga datang siap dengan peralatan perubatan.

Esok hari baru akan membuka tirai. Warga homeless ini akan bangun seawal pagi untuk beredar dari kawasan ini. Kedai-kedai dan bangunan berhampiran akan beroperasi seperti biasa. Mereka akan keluar mencari rezeki demi menampung kehidupan mereka untuk hari-hari yang mendatang. Begitu juga dengan Abang Nasir, dia akan terus berusaha mencari pekerjaan. Sempat juga saya memberi kata semangat, dan banyakkan berdoa kepada Allah. 

Akan bersambung....


Amer Gerrard 
The Typewriter

Wednesday 23 December 2015

Berhati-Hati Dengan Dia

Sungguh saya tidak percaya, polemik yang berlaku di dalam negara ini benar-benar telah memberi kesan kepada setiap individu/masyarakat Malaysia. Iklim negara kita bertukar dengan sekelip mata, begitu juga dengan 'cuaca' rakyat Malaysia. Mereka berubah seiring dengan pergolakkan yang berlaku dalam negara kita. 

Saya tidak mahu menyentuh berkenaan perihal politik, kerana jika saya tersilap berkata-kata, padah menanti saya. Tetapi, saya masih belum mampu untuk meninggalkan politik ini secara total. Entah kenapa, saya juga tidak mengerti. Semakin saya melarikan diri, semakin ia laju menghampiri saya. 

Kenapa saya tidak menyukai dan cuba melarikan diri dari politik ialah untuk menjaga hubungan persahabatan dengan sahabat saya. Saya mempunyai sahabat yang pelbagai latar belakang politik. Ada yang se-fikrah dengan saya, ada juga yang 360 darjah berbeza jalur politik dengan saya. Dan kebanyakkan mereka ini tidak bersama mana-mana badan politik (Buat masa ini, saya tergolong dalam golongan ini). 

Saya berpengalaman setahun jagung terlibat dengan politik kampus. Ada perkara yang saya menyesal kerana melakukannya dan ada perkara yang saya bersyukur. Zaman muda-muda (Baca: Zaman universiti), saya tidak berfikir terlalu lama untuk melakukan sesuatu perkara. Kadang kala ia akan melepasi limit yang tidak patut saya lepasi. Biasalah, waktu itu darah masih muda. Jika ditoreh tangan ini, pasti darah memberontak akan kelihatan. Waktu itu cukup seronok jika orang tahu kita ini ada darah rebel ini. Fuh!

Dalam pada saya berseronok dalam imiginasi ciptaan saya sendiri, saya sebenarnya telah melukai ramai pihak. Ada yang telah perlahan-lahan mula menjauhkan diri dari saya. Unfriend di facebook itu perkara normal. Block juga ada yang melakukan perkara itu, tetapi bukan sebab politik. Ia lebih kepada soal hati. Haha. 

Dalam fasa-fasa akhir saya di universiti, mula bermain persoalan dalam diri saya:

" Apa sebenarnya yang telah saya lakukan? Benarkah ini yang saya mahukan? "

Titik tolak dari persoalan itu, saya tersedar dari imiginasi yang saya cipta sendiri. Saya kembali untuk membetulkan perkara yang telah saya lakukan. Waktu fasa imiginasi memang mudah, tetapi untuk menjernihkan suasana ini semula memang sukar. Saya terima cabaran ini dan masih dalam proses ke arah itu. 

" Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata, padah binasa "

Masih ada yang tidak senang dengan saya rupanya. Sampaikan ada yang sudah block saya di alam realiti. Saya ini dikatakan telah membawa pengaruh negatif kepada ramai pelajar. Boleh saya katakan di sini, saya adalah kepala kepada semua budak-budak yang punya jiwa memberontak. Sebenarnya, bukan memberontak tidak tentu hala, mereka ini memperjuangkan hak yang memang milik mereka. 

Sedih juga pada awalnya diperlakukan seperti ini. Semakin lama, saya nekad, biarlah mereka pula berada dalam imiginasi ciptaan mereka sendiri. Terpulang kepada mereka untuk memberi apa sahaja gelaran kepada saya. Asalkan mereka bahagia, silakan. Saya berharap pada suatu hari nanti, mereka juga akan tersedar dari imaginasi ciptaan mereka. 

Lebih seronok untuk saya ceritakan, saya juga telah berada dalam pemerhatian mereka yang bersama-sama dengan saya pada suatu masa dahalu. Sungguh saya terkejut bila mendengar akan perkara ini. Saya ingatkan hanya pihak sebelah sana sahaja yang jalankan misi pantauan terhadap saya. Rupa-rupanya, pihak di sebelah sini juga melakukan perkara yang sama. 

Akhirnya sekarang ini, saya berada di tengah-tengah antara dua pihak. Saya telah dianggap ancaman kepada dua-dua belah pihak. Haha. Tergelak saya bila memikirkan akan perkara ini. Adakah saya ini mempunyai kuasa pengaruh yang cukup hebat sampaikan perkara ini boleh berlaku? 

Akhir kata sebelum saya menutup entri kali ini:

Zaman universiti adalah zaman terbaik untuk kita mempelajari dan mengenal diri kita. Di sini kita akan mempersiapkan diri untuk menghadapi dunia yang sebenar nanti. Ambil peluang untuk berkenalan dengan semua jenis orang, belajar dari mereka yang pelbagai ini. Jangan lupa mencari sahabat yang mampu bersama kita saat suka dan duka. Huhu. 


Mohon maaf jika mengguris hati :)

Sekian

Amer Gerrard
The Typewriter


Monday 21 December 2015

TERIMA KASIH

" Terima kasih UKM "

Saya perlu nyatakan di sini setinggi penghargaan saya kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana telah membuka minda saya untuk menyertai aktiviti bersifat kesukarelawan. Saya mula bersama aktiviti seperti ini bila mana berada di UKM. Dari awal mengurus program dengan jawatan Ahli Jawatankuasa Kecil (AJK), kemudian dinaik pangkat menjadi Exco perlaksana program, dan akhirnya menjadi pengarah program/aktiviti. Semua ini saya belajar di UKM. Pendedahan yang baik kepada diri saya.

Sebenarnya bukan mudah untuk kita memecahkan tembok/halangan dalam diri kita untuk terjun ke dalam aktiviti seperti ini. Pada awalnya kita akan bermain dengan alasan dalam diri. Kebiasaannya, tidak mempunyai masa adalah alasan paling popular yang diberikan. Saya tertanya-tanya juga, terlalu banyak komitmen yang perlu dilunaskan oleh seorang manusia yang bergelar mahasiswa?

Selepas alasan ini berjaya ditewaskan, akan hadir alasan yang kedua iaitu mahu fokus kepada pembelajaran. Benar, niat paling asas kita masuk ke menara gading ini adalah untuk belajar. Mencapai matlamat untuk berjaya dalam bidang pengkhususan yang diambil. Misi melunaskan harapan mak dan abah di kampung akan menguatkan lagi alasan ini. Untuk alasan ini, saya serahkan kepada diri masing-masing untuk menilai. Seperkara yang perlu diingatkan, kita tidak mampu untuk menipu diri sendiri.

Terlalu banyak alasan lain yang digunakan untuk kita tidak turut serta dalam aktiviti seperti ini. Bermain dengan isu keselamatan, kesihatan, minat, dan lain-lain lagi. Segala yang saya tulis ini adalah dari kisah saya. Kisan penulis menceritakan perjalanan hidup dia. Memang ini yang telah saya lakukan sebelum ini.

Antara sebab yang berjaya melumpuhkan terlalu banyak alasan dalam diri saya ialah sahabat. 

" Terima Kasih SAHABAT "

Sahabat telah banyak mempengaruhi daya fikir, tindakkan, kelakuan saya sepanjang berada di universiti. Sebab itu penting untuk kita mempunyai sahabat yang mampu membimbing kita ke haluan yang betul.

Saya berkawan dengan semua jenis orang. Walaupun berbeza jalur politik (Politik kampus), berbeza kaum, bahasa, latar belakang, kursus pengajian, gender dan lain-lain lagi. Atas kepelbagaian dalam persahabatan ini telah membentuk diri saya. Sedikit sebanyak saya sudah berubah menjadi orang yang baru (Saya berharap masih berada di atas landasan yang benar. Amin). Terima kasih sekali lagi sahabat.

Selepas tamat zaman universiti ini, saya masih memegang erat perhubungan persahabatan ini. Bukan mudah untuk saya lupakan liku-liku cabaran, suka dan duka kami bersama di alam universiti. Haha. Saya tahu ada yang tidak senang dengan saya. Disuruh berhati-hati dengan saya supaya tidak terpengaruh dengan idea/kelakuan saya yang buruk. Biarlah, itu urusan mereka. 

" Ukhwah kami hanya Allah yang tahu, kata seorang sahabat "

Saya rasa penulisan kali ini sudah lari jauh sedikit dari misi asal entri kali ini. Haha. Maafkan saya, ayuh kembali ke misi asal. Saya sebenarnya ingin mengajak kita semua untuk turun ke lapangan bersama masyarakat. Untuk kita bersama membantu masyarakat. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Himpitan dari pelbagai sisi telah menyebabkan lebih ramai terseksa. 

Menjalankan aktiviti bersama sahabat, iaitu orang yang kita kenal dalam dan luar lebih seronok untuk difikirkan. Ia akan mengembalikan zaman di universiti, saat kita bekerjasama menjalankan aktiviti/program yang kita rancang bersama. Sebab itu, saya tidak berfikir panjang untuk kembali bersama sahabat untuk kita menjalankan misi ini. 

Saya jemput pembaca untuk like page Facebook INSAN : Initiative for Malaysian Humanitarian

InsyaAllah akan saya ceritakan lebih lanjut berkenaan INSAN ini di-entri yang kemudian ya :) 



 Semoga usaha kami ini akan menghasilkan manfaat buat semua. Amin :)

Sekian,

Amer Gerrard
The Typewriter



Friday 18 December 2015

PELAJAR, MASA & WANG

Ayat popular yang saya selalu dengar kebelakangan ini:

" Masa terbaik untuk mulakan ialah semalam. Dan masa kedua terbaik untuk bermula adalah pada hari ini "

Dialog ini pula yang sering saya dengar dari kawan-kawan saya:

" Kenapa waktu zaman universiti kita tak terfikir untuk belajar semua ini? Kalau kita sudah buat waktu itu kan bagus " 

Jadi, benarlah apa yang dikatakan oleh kebanyakkan orang, masa untuk kita mulakan ialah pada hari semalam. 

Apa sebenar yang cuba saya sampaikan di atas. Dapat tangkap tak?

Sebenarnya saya cuba sampaikan berkenaan pengurusan kewangan. Selepas bergraduasi ini, baru saya terSEDAR betapa pentingnya ilmu mengurus kewangan ini. Bila saya fikirkan semula pada zaman universiti, saya berasa sangat kecewa dengan cara saya mengurus kewangan. Saya juga yakin, majoriti graduan merasai perasaan yang sama dengan saya. 

Zaman universiti adalah zaman yang paling seronok untuk menyimpan wang, melabur dan mempelajari ilmu-ilmu berkaitan kewangan. Kita tidak mempunyai komitmen yang banyak sewaktu zaman universiti. Mana ada komitmen untuk membayar kereta, rumah, bil elektrik setiap bulan. Kebanyakkan wang dibelanjakan untuk makan.

Mungkin akan ada suara berbunyi mengatakan yuran universiti naik, kos sara hidup meningkat dan lain-lain lagi. Mana ada wang lebihan untuk disimpan. Benar saya mengakui semua itu. Mungkin akan menggangu mereka. 

Mari kita bercerita berkenaan masa.

Saya juga pernah menjadi pelajar. 5 tahun belajar dalam bidang Farmasi. Kena pergi kelas, masuk makmal, posting klinikal, sertai program universiti dan lain-lain lagi. Saya pasti ramai akan mengatakan mereka sibuk, tidak punya masa. Saya juga meberikan alasan yang sama. Mudah sahaja saya kata, waktu itu saya TIPU diri sendiri. Saya mempunyai waktu lapang yang sangat banyak.

Jika kita pandai membuat pertimbangan, kita akan punya banyak masa terluang. Dan masa ini seharusnya kita isi untuk perkara yang bermanfaat. Sebagai contoh, kita boleh mempelajari ilmu-ilmu seperti kewangan. Kita boleh mengikuti seminar berkaitan kewangan. Pergilah program yang tidak perlu kita mengeluarkan duit. Ambil peluang juga untuk belajar dari individu yang mahir dalam bidang ini. Dari situ kita belajar bagaimana untuk menguruskan kewangan. Terus menerus menimba ilmu. 

Masa yang ada ini juga boleh kita manfaatkan untuk membuat perniagaan kecil-kecilan. Ini mungkin tidak semua orang boleh lakukan. Sekarang orang mudah membuat duit dengan menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram. Alang-alang kita online 24 jam, selitkan sedikit agenda perniagaan. Ini adalah perkara yang saya tidak manfaatkan dahulu. Perasaan kecewa itu memang ada. 

Bercerita pula tentang wang. 

Saya mendapat tajaan biasiswa JPA sebanyak RM6300 setiap semester selama 4 tahun pengajian (Tahun 5 kes istimewa). Ditolak dengan yuran pengajian/penginapan, saya mempunyai baki lebih kurang RM4800. RM4800 ini adalah duit yang perlu saya belanjakan untuk 4 bulan (1 semester pengajian).

Cuba buat kira-kira, berapa banyak wang sebenaranya saya mampu simpan. Jika tidak mampu simpan banyak, pasti ada nilai sedikit boleh saya simpan. Sebaliknya telah berlaku, saya tidak mempunyai baki simpanan biasiswa JPA setelah tamat belajar. Paling perit, semester akhir saya tidak ditaja JPA. Alhamdulillah, ada zakat UKM :)

Apa yang saya tahu, kebanyakkan duit saya dibelanjakan untuk makan. Makan bukan sebarang makan. Boleh bayangkan pada tahun 2, hampir 3 kali seminggu saya makan makanan western di Kampung Baru. Harganya lebih kurang macam gambar di bawah. Benar, tidak salah untuk kita belanjakan duit untuk makan. Tetapi biar berpada-pada. 

Murni Cheras

Saya juga positif untuk pelajar yang terpaksa meminjam dari PTPTN sebagai contoh. Mereka juga boleh menyimpan jika mereka pandai mengurus kewangan. Segalanya perlukan komitmen dan disiplin. 

Secara konklusi mudah yang boleh saya buat:

1. Lapangkan masa untuk meningkatkan ilmu berkaitan pengurusan kewangan 
2. Buat simpanan sewaktu zaman belajar 

Sekian,

Amer Gerrard
The Typewriter 


Thursday 17 December 2015

SEDIAKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN


Sudah berminggu saya menjadi pakar mengkaji cuaca. Melihat perubahan cuaca yang berlaku setiap hari. Dari pagi hingga ke malam saya memerhati. Malangnya, saya masih gagal untuk memahami pola cuaca di Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Waktu Pagi 

Waktu Tengahari

Waktu Petang

Jika diperhatikan pada gambar di atas, cuaca sangat baik. Percayalah, cuaca itu boleh berubah dalam sekelip mata sahaja. Kita bukan Tuhan yang mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Pernah sekali saya sudah bersiap untuk riadah di Tasik Titiwangsa pada sebelah petang. Saya melihat cuaca sangat baik dari pejabat saya. Sampai sahaja saya di Tasik Titiwangsa, hujan lebat telah turun. Saya telah basah hampir separuh badan. Alhamdulillah, saya sempat berteduh di Masjid Ibnu Sina, Tasik Titiwangsa. 

Antara tanda awal untuk hujan turun ialah awan akan berubah menjadi gelap. Benar, ia memang berlaku. Cumanya, sekarang ini proses perubahan itu berlaku sangat cepat. Dari cuaca yang cerah, tiba-tiba ia berubah menjadi gelap, dan akhirnya hujan turun dengan lebatnya. Hebat bukan kekuasaan Allah. 

Alhamdulillah, kita patut bersyukur dengan nikmat hujan yang Allah turunkan ini. Dan kita harus berdoa:

" Allahumma Soyyiban Nafi'a "

Maksudnya:

" Ya Allah, jadikanlah ia hujan yang bermanfaat " 

.........................

Pepatah melayu ada berkata:

" Sediakan payung sebelum hujan " 

Ulanglah beribu kali pepatah ini, tetapi tidak pernah diambil tindakkan. Sudah tahu ia musim hujan, tapi masih tidak mengambil langkah bersedia menghadapi hujan. 

Sebagai contoh, saya selalu pulang ke rumah dalam keadaan hujan. Bila hujan turun, saya akan mengeluh di dalam hati (Jangan buat).

" Mandi hujan lagi hari ini. Hmmm "

Hari-hari mengeluh tiada guna. Baju hujan masih saya tidak beli. Dan asyik merungut basah sahaja. 

.........................

Sekarang ini apa yang perlu saya lakukan ialah membeli baju hujan. Sekurang-kurangnya saya sudah bersedia untuk menghadapi hujan yang saya tidak duga akan turun. 

.........................

Saya ingin bertanya, 

" Sudahkah mengambil langkah perlindungan untuk diri KITA sendiri ? " 

Sekian, 

Amer Gerrard
The Typewriter 



Monday 14 December 2015

" AMER SUDAH BERUBAH "

Oktober lepas bertemu sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Hampir 2 tahun lebih tidak bersua muka. Memori terakhir bersama ketika berkejaran membaling belon berisi air ketika Bulan Mesra Pelajar (BMP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 2011/2012. Cukup sedikit sejarah lepas, jangan diceritakan lagi, takut ada yang kecewa :P

Hampir 1 jam lebih saya tidak henti bercerita, menyentuh isu itu dan ini. Dia hanya mencelah sebentar, kemudian senyum dan ketawa. Mungkin terkesima dengan cara saya mengawal suasana ketika itu. Haha. 

Akhirnya, muncul dari mulut dia,

" Amer sudah berubah. Berbeza dari dahulu " 

Itu adalah sedikit sebanyak dialog dia tuturkan. 

Saya berfikir sejenak, memang benar telah banyak perubahan yang saya lalui dalam kehidupan ini. Kalau dibandingkan dengan tahun yang sudah, saya tidak menyangka akan jadi seperti ini. 

Teringat saya pada zaman persekolahan. Diberikan jawatan menjadi pengawas sekolah pada tingkatan 5. Jiwa muda waktu itu, saya memberontak secara senyap. Buka sesi persekolahan, saya pergi sekolah memakai baju berwarna putih dan bukan baju biru (Uniform pengawas). Alhamdulillah, tiada apa-apa respon dari cikgu sekolah. 

Saya bertindak sedemikian kerana saya tidak suka aktiviti berpesatuan seperti itu. Kena baca doa sewaktu perhimpunan, menjadi pengacara majlis perhimpunan sekolah, buat spot-check pelajar dan lain-lain. Eh, rimas betul saya. 

Bila bab ko-kurikulum sepert biasa saya akan sertai persatuan yang sangat tidak aktif. Cukup sekadar syarat saya sertai persatuan. Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Bomba adalah persatuan yang akan saya kejar dahulu. Saya yakin, hati saya amat dekat dengan persatuan ini. Iya, 2 persatuan ini adalah persatuan yang tidak aktif pada zaman saya. 

Percayalah, tiada cerita menarik yang boleh saya ceritakan berkenaan saya pada zaman persekolahan peringkat menengah. Sangat membosankan, tidak menarik dan mendatar. Haha. 

Suka untuk dinyatakan di sini, saya berjaya memecahkan ego saya sedikit pada zaman matrikulasi (KMNS). Berjaya memenangi pertandingan menjadi ketua praktikum H1P6. Ramai calon-calon yang hebat saya berjaya tewaskan dengan mudah. Mungkin orang sudah nampak sifat kepimpinan dalam diri saya. Haha. 

Terima kasih Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya telah berjaya memusnahkan sebahagian halangan dan ego yang selama ini menghantui diri saya. Terlalu banyak perkara telah saya lakukan semasa zaman di UKM. Dari perkara baik, hingga ke perkara yang nakal :P

Tidak mahu menceritakan apa yang berlaku pada zaman UKM. Cukup sekadar makluman saya sudah menjadi Amer Gerrard. Si budak nakal yang disalah tafsir orang. Haha

Kita boleh duduk sembang sambil minum teh tarik untuk bercerita lebih. Boleh juga sembang berkenaan perancangan kewangan ;)