Sunday 11 January 2015

Aku dan Kelantan

Bismillah

Alhamdulillah, masa ada nyawa, masih punya iman, Islam masih diamalkan seperti yang sepatutnya ia diamalkan. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang Allah berikan kepada kita. Ada kalam yang ingin dikongsikan;

" Kita mampu untuk bersabar, tetapi selalu sangat kita tidak bersyukur "

Tulisan kali ini, aku ingin berkongsi, Kelantan. Ada apa Kelantan dengan aku? 

Tahun 2015, Kelantan adalah negeri pertama yang aku lawati. Dan Kelantan adalah negeri yang paling kerap aku lawati sepanjang hidup aku. 

Untuk pengetahuan, aku bukan orang yang suka merantau ke negeri orang tanpa hala tuju. Jika tidak di Negeri Sembilan, aku akan berada di Kuala Lumpur bagi melunaskan sisa berbaki selaku pelajar. 

Seingat aku, setiap kali aku berkungjung ke Kelantan akan ada cerita yang menarik sambil membawa objektif yang juga berbeza.

Tahun 2013, jika aku tidak silap. Aku merantau ke Kelantan untuk mengambil tikus hipertensi bagi kajian aku. Jauh itu hanya jarak perkiraaan sahaja, tetapi misi ke sana telah memberi aku kekuatan.

Begitu juga kisah perjalanan aku ke Kelantan sebelum ini. Biarkan rahsia kerana rahsia itu indah untuk disimpan.

Kali ini, aku terlibat dalam program sukarelawan untuk membantu mangsa banjir di Gua Musang, Kelantan. Misi ini diketuai oleh UKM dan majoriti yang pergi adalah staff UKM. Aku termasuk dalam hampir puluhan orang pelajar yang terlibat. 

Aku tidak mahu bercerita apa yang aku buat. Apa bantuan yang aku bagi. Sememangnya aku tidak bantu apa-apa jika ingin dibandingkan situasi yang dihadapi oleh masyarakat setempat. Aku terpanggil untuk kongsikan beberapa perkara yang aku peroleh dari mereka yang terlibat dalam misi sukarelawan ini. 


Mengikut kamu dewan edisi ke-empat, sukarelawan membawa erti melakukan sesuatu perkara dengan suka rela. Tiada paksaan dari individu atau kumpulan untuk melakukan pekerjaan itu. 

Teringat aku kata-kata dari doktor yang terlibat dalam misi ini;

" Semoga bantuan yang kita berikan ini adalah Ikhlas dari dalam diri kita. Dan semoga Allah angkat pekerjaan kita yang ikhlas ini "

Ini adalah peringatan buat mana-mana sukarelawan yang terlibat. Ikhlas adalah kunci kepada pekerjaan ini. Kita telah memilih untuk terlibat dalam misi ini, jangan kita letakkan harapan atau ganjaran dari mana-mana pihak untuk kita. Cuma, kita harap Allah berikan ganjaran kepada bantuan kita ini dan kita akan dikumpulkan di tempat istirehat yang kita hajati iaitu syurga. 

Apa yang aku mampu buat analisa, dua komponen penting sebagai sukarelawan adalah 'internal strength' dan 'external strength'. 

Untuk kita miliki kekuatan dalaman yang kukuh, hubungan kita dengan Allah kena selesai. Selalu perhubungan itu dijalinkan. Jangan terputus talian hubungan. Di tempat yang kami pergi ini, 'line' talian komunikasi kadang kala akan putus, baik Maxis mahupun Celcom. Tetapi, kita kena ingat, 'line' perhubungan kita dengan Allah tidak akan putus di mana sahaja lokasi kita. Sesungguhnya, kekuatan itu datang dari Allah, mohon kekuatan pada-Nya.

Emosi, adalah komponen penting kepada 'internal strength'. Sempat aku berbicara dengan kaunselor yang terlibat. Beberapa perkara telah dikongsikan. Mereka yang terlibat dalam bencana alam, kehilangan harta benda, dan ditempatkan di tempat pemindahan, emosi mereka berada pada tahap tidak stabil. Aplikasikan ilmu yang ada bila kita berurusan dengan mereka. Bab ini, hanya mereka yang ahli mampu menangani situasi ini.

'External strength' ini adalah kekuatan luaran atau fisikal. Kata orang di sana, kita buat ikut kemampuan kita. Kita ingin membantu masyarakat di sini. Jangan bebankan mereka bila mana kita 'over push' menyebabkan orang lain yang kena bantu kita. Sekecil mana bantuan kita, InsyaAllah jika kita ikhlas, ada ganjaran untuk kita.

Sebagai sukarelawan, kita bukan buat kerja sendirian. Kita bergerak dalam pasukan yang tersusun kukuh bagi memastikan pekerjaan kita effektif. Dalam hal ini, setiap dalam diri sukarelawan kita ada 'public relation' yang cukup baik. Ini membawa maksud, mereka mudah untuk didekati dan mudah untuk mendekati orang lain. Kita membawa misi yang sama, membantu mangsa banjir, dan kita kena bekerjasama sesama kita. Untuk itu, hubungan sesama manusia atau hubungan kita selaku satu pasukan itu kena kukuh. Tali-tali yang berhubung dalam kalangan sukarelawan harus sentiasa berhubung. Dalam bahasa kasar, kita jangan buat kepala kita di sana. Dengar arahan orang atas dan hormat sukarelawan yang lain.

Dalam membina karakter yang mesra masyarakat ini, ia perlukan latihan yang cukup. Aku juga masih belajar perkara ini. Aku cukup kagum dengan orang yang boleh berinteraksi dengan ideal dengan masyarakat yang pelbagai. Orang kata, ia adalah sifat semula jadi untuk orang tertentu. Dan bagi aku, kita kena belajar jika kita inginkan sifat itu.

" Belajar rajin-rajin sampai jadi orang berjawatan tinggi. Buat keputusan dengan tepat dan cepat "

Itu adalah nasihat dari seorang pakcik kepada aku. Aku klasifikasikan pakcik ini adalah orang ada 'public relation' cukup baik. Mudah sahaja dia mendekati aku yang sedang duduk di tangga sekolah, kepenatan dan termenung, menunggu makan malam siap. 

Pakcik mula berkongsi pengalaman dia hari ini. Dia sempat bertemu dengan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan. Ada yang tidak makan dari semalam dan ada yang risau di mana mereka akan ditempatkan. Sekolah, tempat mereka menginap akan dibuka pada hari ini (Ahad). Mereka perlu berpindah ke tempat lain kerana mereka sudah tidak ada rumah untuk didiami lagi. Sebelum ini, berita mereka akan dipindahkan ke tempat baru sentiasa kedengaran. Bila mereka akan dipindahkan masih menjadi persoalan dalam fikiran mangsa banjir di sana.

Pakcik itu memberi aku galakkan untuk rajin belajar, mencapai tahap tertinggi dan berjawatan besar. Ini penting, untuk aku keluarkan arahan sebagai orang atas dengan cepat dan tepat. Situasi masyarakat di sini tidak menentu. Orang-orang berpangkat di sini tidak turun melawat mereka. kalau ada, itu pun hanya sekali dua, kata pakcik itu. 

Mereka gelar diri mereka sebagai nadi rakyat, bila situasi begini berlaku, di mana mereka? Nadi sudah tiada lagi. Itu keluhan pakcik itu. 

Pakcik hanya orang bawahan di sini. Tanggungjawab pakcik di sini untuk membersihkan sekolah. Itu perlu pakcik selesaikan. Bab makanan dan penginapan masyaratkat di sini, pakcik tidak mampu membantu kerana pakcik tidak ada kuasa.

Sekali lagi, pakcik itu berpesan lagi, kematangan itu akan dicapai melalui pengalaman. Libatkan diri dengan aktiviti, atau apa sahaja perkara untuk kita mencari nilai pengalaman itu. Dan, paling penting, amir kena banyakkan membaca. Ilmu itu penting. Amir boleh lakukan. InsyaAllah. 

Bermain-main kata saranan dari pakcik itu dalam minda aku. Memang aku punya hajat untuk berada di tempat orang yang bertanggungjawab selaku 'policy maker'. InsyaAllah, semoga dipermudahkan urusan.

Untuk pengetahuan , pakcik itu datang sebagai kaunselor bersama tiga orang ahli pasukan beliau. Dan pakcik itu adalah lulusan PhD. Tidak aku duga, begitu peramah dia dengan orang sekeliling dan tidak hipokrit. Tabik hormat saya untuk 'Pakcik'. 

Ini adalah sedikit ilmu yang aku peroleh 4 hari dan 3 malam di Gua Musang, Kelantan. Hari terakhir, kami pergi ke sekolah yang dijadikan tempat pemindahan mangsa banjir (sebelum ini) untuk kami makan makanan pagi. 

Sekolah telah dibuka, murid-murid bersedia untuk menyambung misi menjadi manusia yang berguna dan bermanfaat. Aku tidak tahu apa dalam minda ibu bapa, anak-anak yang kehilangan rumah, tempat kediaman yang masih tidak kata putus. Sekolah yang masih tidak pulih dari bencana ini, di mana murid-murid ingin menuntut ilmu? Persoalan ini aku tidak mampu jawab. 

Aku hanya mampu berdoa, semoga Allah mudahkan urusan kalian. 

" Allah bukan sahaja memberi ujian kepada mereka, tetapi memberi ujian buat kita di sini. Apa peranan kita kepada mereka? "
#Anonymous

Secara keseluruhan, pengalaman yang menarik untuk aku. Berjumpa dengan orang yang pelbagai, berkongsi ilmu dengan mereka, dan menjalankan misi asal program ini. 

Misi yang akan datang, 18-21 Januari 2015. Siapa ingin sertai, amat dialu-alukan. Semoga bantuan kita tidak seberapa ini akan diangkat dan dinilai tinggi oleh Allah. 

Amin.

Sekian,

#AG

1 comment: