Tuesday 29 September 2015

OPORTUNIS

Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi ke-4, oportunis membawa maksud orang yang suka mengambil kesempatan dari sesuatu keadaan, terutamanya untuk kepentingan peribadi. Itu takrif skema atau takrif buku dari DBP. Adakah saya seorang yang oportunis? Bagaimana pula dengan kamu, kamu oportunis?

Persoalan itu saya tinggalkan sebentar. Izinkan saya kembali ke zaman atau peristiwa di mana perkataan oportunis ini mula bermain dalam fikiran saya. Ini boleh dikatakan peristiwa penting dalam perjalanan hidup saya.



Gambar di atas adalah buku Badiuzzaman Said Nursi, karangan Abdul Latip Talib. Pertama sekali, saya tidak mahu campur tangan berkenaan kisah penulis (Abaikan ya). Buku ini saya telah khatamkan dalam beberapa hari kerana saya ingin menghadiri seminar pemikiran Badiuzzaman Said Nursi bersama sahabat saya. Ini adalah buku yang saya betul-betul baca, fahami dan ada tujuan. Ia berbeza dengan buku yang saya baca sebelum ini.

Ada yang berkata, sebelum saya membaca kisah Badiuzzaman Said Nursi ini saya perlu hadam beberapa buku sebelum ini seperti buku Salahudin Ayubi juga karangan Abdul Latip Talib (Mungkin ada karangan dari penulis lain).


Gambar buku ini saya dapat dari carian google. Saya mengaku, saya masih belum membaca kisah dari buku ini. Buku yang seterusnya yang disarankan kepada saya untuk baca ialah Sultan Muhammad Al Fateh. Saya sertakan gambar buku Al Fateh yang saya temui melalui carian google.


Selepas membaca DUA(2) kisah ini iaitu Salahudin Ayubi dan Al Fateh, baru saya perlu membaca kisah Badiuzzaman Said Nursi. Jika tidak saya akan melangkau kisah yang berlaku sebelum zaman Badiuzzaman Said Nursi. Di dalam kisah Badiuzzaman Said Nursi ini juga datangnya bersama kisah Mustafa Kamal Ataturk, Jika kita pernah membaca kisah Badiuzzaman dan Kamal Ataturk, kita akan nampak dengan jelas apa yang berlaku pada zaman mereka ini. Untuk itu, saya juga menyarankan untuk membaca buku Kamal Ataturk juga. Saya sertakan gambar buku yang saya jumpa juga di carian google.


Cukup pendahuluan untuk saya ceritakan berkenaan sejarah kisah-kisah tokoh kerajaan Turki. Untuk info lebih lanjut, EMPAT(4) buku di atas perlu kita baca, hadam dan fahami.

Berbalik kepada tajuk entri kali ini iaitu oportunis. Sewaktu seminar pemikaran Badiuzzaman Said Nursi, sahabat saya telah bertanya kepada ahli panel satu soalan yang agak sensasi dan panas.

" Adakah Badiuzzaman seorang yang oportunis? "

Itu soalan yang ditanyakan kepada ahli panel seminar itu. Seorang ahli panel yang menjawab soalan itu cukup tidak senang dengan persoalan dari sahabat saya itu. Lantas, ahli panel itu menolak sama sekali bahawa Badiuzzaman Said Nursi ini seorang yang oportunis.

Jika kita melihat semula takrif oportunis ini, ia memang kelihatan sangat negatif,

" Mengambil kesempatan dari sesuatu keadaan, terutama untuk kepentingan peribadi "

Jika kita melihat corak pergerakan Badiuzzaman Said Nursi, kita akan melihat perubahan strategi yang digunakan oleh beliau. Saya tidak mahu menyentuh dengan lebih lanjut, saya takut pembaca akan tersalah tafsir. Untuk itu, saya menyarankan pembaca untuk membaca sendiri kisah Badiuzzaman Said Nursi ini. Cuba untuk hadiri seminar-seminar yang berkaitan tokoh ini untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas. Selepas itu, mungkin pembaca akan memahami maksud soalan sahabat saya itu.

Bagi saya, berlaku salah faham pentafsiran definisi ahli panel dan juga sahabat saya berkenaan takrif oportunis ini. Mungkin sahabat saya ingin menyampaikan maksud Badiuzzaman Said Nursi di sini ialah bijak memanfaatkan peluang. Tetapi, ahli panel memahami dengan maksud yang negatif.

Cukup, saya tidak mahu mengulas lebih. Takut saya yang menyalah tafsir maksud kedua-dua pihak. Lebih baik ditanyakan kepada mereka berdua maksud yang mereka fahami.

Pasti pembaca cuba mencari jawapan di mana korelasi cerita di atas dengan apa yang saya cuba sampaikan.

Jujur, saya mengaku saya seorang yang oportunis. Tetapi ingin saya tegaskan di sini, maksud oportunis yang saya fahami di sini adalah sama seperti yang difahami oleh sahabat saya di atas (Atas pemahaman saya). Jika ditafsir mengikut pemahaman ahli panel itu, benar ia sangat negatif.

Okay, semua jelas ya :)

Selama 24 tahun hidup, ditolak dengan 7 tahun zaman kanak-kanak saya yang tiada arah tuju, 17 tahun saya hidup tidak memanfaatkan peluang yang ada.

Sebagai contoh, selepas keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) keluar, saya telah ditawarkan menyambung pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tetapi saya bertindak menolak tawaran itu mentah-mentah. Saya tahu, jika saya menerima masuk ke SBP, laluan hidup saya lebih cerah (Ikut kefahaman majoriti orang).

Kedua, sewaktu ditingkatan EMPAT(4), saya antara pelajar yang ditawarkan untuk menghadiri program hari kerjaya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berdekatan dengan sekolah saya. Saya tahu, jika saya hadir program itu, saya akan memahami dengan lebih jelas di mana arah tuju yang saya perlu fokuskan. Tetapi tidak, saya tidak hadir ke program itu lantas diberikan ceramah dan kaunseling percuma oleh guru saya.

Ada lagi peristiwa besar yang berlaku tetapi tidak mahu saya ceritakan untuk entri kali ini. Jika saya membuat keputusan sebelum itu, saya mungkin tidak menjadi graduan UKM. Huhu.

Sekarang, umur saya sudah masuk 24 tahun. Kini masa untuk saya mengambil segala peluang yang terbentang di depan mata saya. InsyaAllah, fikiran saya masih waras, masih mampu membezakan antara baik dan buruk.

Ayuh, pecahkan halangan yang menjadi penghalang kepada diri kita untuk maju ke hadapan #MovingForward

Sekian,

Amirudin Jamal


No comments:

Post a Comment