Friday 20 November 2015

CERITA ORANG

Saya kongsikan hadith pertama dalam Hadith 40 Imam Nawawi:-

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Khatthab r.a beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

" Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu. "

Saya cadangkan kepada pembaca agar melihat latar belakang secara total berkenaan hadith ini. Hadith ini begitu popular dalam masyarakat kita, Islam. Ia sering diulang berkali-kali oleh Ustaz-ustaz, hatta dari orang kebanyakkan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kini sudah faham akan intipati hadith ini. 

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah. Selesai saya menyampaikan satu hadith kepada pembaca semua. 

Entri kali ini akan saya ceritakan berkenaan cerita orang. Orang yang tidak perlu saya nyatakan namanya. Cukup sekadar kita mengambil manfaat dari cerita orang ini. Orang ini adalah hanyalah orang kebanyakkan dan ceritanya juga tidaklah terlalu menarik untuk didengar. Tetapi suka saya ceritakan di sini supaya memberi manfaat kepada semua.

Saya percaya, setiap dari diri kita ini mempunyai sebab yang asas atau kukuh untuk kita melakukan perubahan besar dalam diri kita. Hatta sekecil-kecil perkara juga kita mempunyai sebab untuk melakukannya, inikan soal hidup dan mati. 

Orang ini mengambil keputusan besar dalam hidupnya EMPAT(4) tahun yang lepas. Bila saya tanyakan kepada dia;

" Apa sebab yang merubah tuan? "

Katanya mudah, 

" Bukan kerana ingin kurus tetapi ingin hidup sihat "

Saya pasti pembaca mungkin sudah dapat menangkap cerita penuh berkenaan orang ini. Tidak mengapa biar saya habiskan cerita orang ini bagi melengkapkan sangkaan pembaca sekalian.

EMPAT(4) tahun yang lepas, orang ini telah disahkan menghidap penyakit hipertensi atau bahasa kebanyakkan orang, sakit darah tinggi. Dia terpaksa mengambil ubat untuk memastikan tahap tekanan darahnya dapat dikawal dan tidak mendatangkan kesan yang lebih buruk. 

Saya beritahu mitos kebanyakkan orang;-

" Bila kita mula mengambil ubat, 10 tahun akan datang kita akan menjalankan dialisis " 

Saya tidak begitu pasti berkenaan perkara ini. Ia lebih bersifat individu. Tidak semua ubat akan menyebabkan berlaku kerosakan buah pinggang. Saya berpesan, ambil ubat seperti yang diberitahu pakar kesihatan dan laporkan jika berlaku kesan sampingan yang berlaku.

Disebabkan tidak mahu mengambil ubat, orang ini telah merubah diet dan aktiviti harian hidup dia. Bermulalah lembaran kehidupan yang baru, mula mengamalkan pengambilan makanan yang lebih sihat dan melakukan senaman atau aktiviti fizikal setiap hari. Dari seorang yang mempunyai berat melebihi 100kg, kini sudah mencapai dalam lingkungan 70kg. 

Saya sempat bertanya bagaimana status kesihatan sekarang?

Jawabnya,

" Sekarang tubuh badan lebih segar. Tidak pasti sama ada masih ada tekanan darah tinggi atau tidak kerana tidak melakukan saringan kesihatan lagi "

Bila kita sudah mendapat penyakit seperti hipertensi, tidak ada ubat yang mampu merawat penyakit ini. Kita hanya mampu mengawal tekanan darah kita dan simptom-simptom penyakit itu sahaja. 

Mungkin penceritaan saya ini terlalu ringkas. Tidak menceritakan dengan details sepanjang 4 tahun ini. Saya pasti, orang ini pernah melalui liku-liku cabaran dan mungkin pernah terfikir untuk berputus asa. Akhirnya, yang menentukan semua ini ialah SEBAB atau NIAT yang menyebabkan dia mengambil keputusan ini. 



Pesanan:

Saya mohon teguran dan dibetulkan jika ada fakta yang salah dinyatakan pada entri kali ini :) 

Sekian,

Penulis


No comments:

Post a Comment