Thursday 31 December 2015

Cerita Di Belakang Ip Man 3

Sudah lama saya tidak menonton wayang. Malam ini saya kembali mencuri masa saya untuk menonton filem Ip Man 3. Saya mempunyai rekod yang agak buruk dengan wayang. Majoriti filem yang yang tonton, saya akan habiskan masa dengan tidur di dalam pawagam. Itulah saya, orang yang cepat berasa bosan.

Malam ini saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton filem baru di pawagam. Bukan kerana cerita Ip Man 3, tetapi saya pergi kerana pelawaan sahabat untuk tonton bersama. Saya secara peribadi tidak mahu melepaskan peluang ini. Jika ada masa pasti saya akan sedaya upaya meluangkan masa bersama sahabat. (Hayati maksud saya ini sebaik mungkin)

Saya telah menonton trailer filem Ip Man 3 ini beberapa bulan yang lalu. Cukup tertarik dengan penampilan istimewa, Mike Tyson dalam filem ini. Pertarungan yang dinanti-nanti dalam filem ini pasti antara Ip Man dan Mike Tyson.

Setelah saya menonton filem ini, saya sedikit berasa hampa. Saya tidak menjangkakan Ip Man hanya bertarung dengan Mike Tyson untuk 3 minit sahaja. Saya beranggapan, pertarungan mereka adalah pertarungan akhir untuk filem ini. Sebagai kredit, saya memuji pertarungan ini. Perlu diakui Mike Tyson memang kuat dan dia tidak pandai berlakon.

Benar, filem ini cukup sukar untuk saya ramal. Mungkin kerana sudah lama tidak ambil kisah akan filem-filem di pawagam. 

Saya akui, saya telah mendapat input yang sangat baik dari filem ini.

" Hargai kasih sayang orang yang berada di sekeliling kita "

Itu adalah dialog Ip Man (Seingat memori saya) selepas perlawanan akhir dalam filem ini. Dialog itu cukup menyentuh hati saya.

Saya bongkarkan perjalanan filem ini. Isteri Ip Man telah di-diagnos menghidap kanser rahim (Jika saya tidak salah). Selepas Ip Man mengetahui akan perkara ini, dia telah mengekang keinginan dia berkungfu dan meluangkan lebih masanya bersama isteri.

Seperti yang kita maklum, pejuang kanser ini memerlukan sokongan moral yang cukup kuat. Ini adalah alasan paling kukuh untuk mereka berjuang untuk terus hidup. Ip Man berjaya dalam misi ini. Dia sanggup belajar menari (Membalas kesilapan pada awal filem) untuk menggembirakan hati isterinya.

Seorang isteri pasti tahu apa keinginan suaminya. Sebelum isteri Ip Man pergi, dia ingin melihat pertarungan terakhir Ip Man. Ini adalah pertarungan mengembalikan maruah Ip Man. Saya memuji tindakkan Ip Man kerana memilih untuk bertarung tanpa hebahan media dan orang ramai.

Kata sahabat: 

" Itulah HERO yang sebenar, dia tidak memerlukan banyaknya Like, Share untuk membuktikan dia hero "

Perlu juga saya nyatakan, Ip Man adalah contoh suami yang sangat baik. Bila dia salah, kesalahan itu akan dia akui. Ini adalah perkara yang digemari seorang isteri. Seperkara lagi, Ip Man sangat tenang orangnya dan suka menguntumkan senyuman. Mungkin ini boleh jadi contoh buat diri kita. 

Selebihnya saya biarkan anda menonton filem ini. Saya tidak mahu mematikan keinginan anda untuk merasai unsur kejutan dalam setiap filem yang ditonton.

Seperti apa yang telah saya nyatakan di atas tadi, saya menonton filem Ip Man ini bukan kerana filem ini. Saya menonton kerana sahabat. 

Sebagaimana Ip Man nyatakan,

" Hargai kasih sayang orang yang berada di sekeliling kita "

Sekian,

Amer Gerrard 
The Typewriter 



No comments:

Post a Comment