Friday 25 December 2015

INSAN - Kasih Gelandangan : Bab 1

Initiative For Malaysian Humanitarian (INSAN) adalah NGO baru yang ditubuhkan oleh anak muda. Penubuhan ini datang dari kesedaran sekumpulan anak muda akan situasi yang berlaku dewasa ini. Boleh juga dikatakan, INSAN mengembalikan memori zaman mahasiswa sewaktu gerak kerja di dalam dan luar kampus.

INSAN mempunyai 4 fokus utama iaitu:

1. Homeless
2. Orang Kurang Upaya (OKU) 
3. Miskin Bandar 
4. Bencana Alam


Fokus utama saya untuk entri kali ini adalah berkaitan homeless.

Hari ini, 25 Disember 2015, Jumaat adalah program kedua INSAN menyantuni masyarakat yang perlukan perhatian ini, homeless. Program pertama INSAN telah diadakan pada 18 Disember 2015, Jumaat lepas. Pihak INSAN telah menetapkan aktiviti untuk membantu homeless ini akan diadakan pada setiap Jumaat malam (1 minggu 1 kali).

Kata saudara Azan Safar:

"Kita melakukan program ini adalah salah satu tugas kita selaku manusia untuk membantu manusia yang lain" 
 
Alhamdulillah, pada hari ini kami dapat menyediakan 100 bungkus makanan untuk mereka. Kawasan sasaran kami adalah di belakang Segi Kolej. Benar, 100 bungkus makanan ini sememangnya tidak cukup untuk mereka semua. InsyaAllah akan berlaku pertambahan pada minggu-minggu yang seterusnya. 

Tidak sampai beberapa minit kami di sana, bungkusan makanan yang kami bawa telah habis diberikan kepada mereka. Ada juga dalam kalangan mereka yang kelihatan kecewa bila mana kami mengatakan makanan sudah habis. Kami juga berasa terkilan, dan memberitahu mereka, minggu depan kami akan datang lagi InsyaAllah. Sedikit sebanyak memberi kelegaan buat kedua-dua pihak.

Sempat juga kami meluangkan masa bersama masyarakat ini. Mereka memang sangat peramah. Bila bersama mereka, jadilah pendengar yang setia. Mereka akan bercerita dengan jujur mengenai perjalanan diri mereka.

Saya sempat bersama abang Nasir (Bukan nama sebenar). Abang Nasir berasal dari Sabah. Hampir 3 bulan dia tinggal bersama rakan-rakan yang lain di sini. Sebelum ini beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan yang agak besar di kawasan berhampiran. Tetapi beliau seperti ditipu majikan. Dia nekad untuk berhenti kerja dan mencari pekerjaaan lain.

Telah banyak pekerjaan yang beliau cuba, semuanya tidak kena dengan diri. Gaji yang diterima tidak mampu menanggung perbelanjaan harian yang terlalu tinggi. Abang Nasir tidak pernah berputus asa. Hingga ke hari ini, dia masih meneruskan usaha mendapatkan pekerjaan yang mampu menanggung perbelanjaan diri serta keluarga di kampung.

Abang Nasir juga berkata, memang setiap hari akan ada NGO dan individu yang datang memberi bantuan kepada mereka. Masyarakat di sini berasa sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan itu. Ada yang datang membawa makanan, dan ada juga datang siap dengan peralatan perubatan.

Esok hari baru akan membuka tirai. Warga homeless ini akan bangun seawal pagi untuk beredar dari kawasan ini. Kedai-kedai dan bangunan berhampiran akan beroperasi seperti biasa. Mereka akan keluar mencari rezeki demi menampung kehidupan mereka untuk hari-hari yang mendatang. Begitu juga dengan Abang Nasir, dia akan terus berusaha mencari pekerjaan. Sempat juga saya memberi kata semangat, dan banyakkan berdoa kepada Allah. 

Akan bersambung....


Amer Gerrard 
The Typewriter

No comments:

Post a Comment