Friday 18 December 2015

PELAJAR, MASA & WANG

Ayat popular yang saya selalu dengar kebelakangan ini:

" Masa terbaik untuk mulakan ialah semalam. Dan masa kedua terbaik untuk bermula adalah pada hari ini "

Dialog ini pula yang sering saya dengar dari kawan-kawan saya:

" Kenapa waktu zaman universiti kita tak terfikir untuk belajar semua ini? Kalau kita sudah buat waktu itu kan bagus " 

Jadi, benarlah apa yang dikatakan oleh kebanyakkan orang, masa untuk kita mulakan ialah pada hari semalam. 

Apa sebenar yang cuba saya sampaikan di atas. Dapat tangkap tak?

Sebenarnya saya cuba sampaikan berkenaan pengurusan kewangan. Selepas bergraduasi ini, baru saya terSEDAR betapa pentingnya ilmu mengurus kewangan ini. Bila saya fikirkan semula pada zaman universiti, saya berasa sangat kecewa dengan cara saya mengurus kewangan. Saya juga yakin, majoriti graduan merasai perasaan yang sama dengan saya. 

Zaman universiti adalah zaman yang paling seronok untuk menyimpan wang, melabur dan mempelajari ilmu-ilmu berkaitan kewangan. Kita tidak mempunyai komitmen yang banyak sewaktu zaman universiti. Mana ada komitmen untuk membayar kereta, rumah, bil elektrik setiap bulan. Kebanyakkan wang dibelanjakan untuk makan.

Mungkin akan ada suara berbunyi mengatakan yuran universiti naik, kos sara hidup meningkat dan lain-lain lagi. Mana ada wang lebihan untuk disimpan. Benar saya mengakui semua itu. Mungkin akan menggangu mereka. 

Mari kita bercerita berkenaan masa.

Saya juga pernah menjadi pelajar. 5 tahun belajar dalam bidang Farmasi. Kena pergi kelas, masuk makmal, posting klinikal, sertai program universiti dan lain-lain lagi. Saya pasti ramai akan mengatakan mereka sibuk, tidak punya masa. Saya juga meberikan alasan yang sama. Mudah sahaja saya kata, waktu itu saya TIPU diri sendiri. Saya mempunyai waktu lapang yang sangat banyak.

Jika kita pandai membuat pertimbangan, kita akan punya banyak masa terluang. Dan masa ini seharusnya kita isi untuk perkara yang bermanfaat. Sebagai contoh, kita boleh mempelajari ilmu-ilmu seperti kewangan. Kita boleh mengikuti seminar berkaitan kewangan. Pergilah program yang tidak perlu kita mengeluarkan duit. Ambil peluang juga untuk belajar dari individu yang mahir dalam bidang ini. Dari situ kita belajar bagaimana untuk menguruskan kewangan. Terus menerus menimba ilmu. 

Masa yang ada ini juga boleh kita manfaatkan untuk membuat perniagaan kecil-kecilan. Ini mungkin tidak semua orang boleh lakukan. Sekarang orang mudah membuat duit dengan menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram. Alang-alang kita online 24 jam, selitkan sedikit agenda perniagaan. Ini adalah perkara yang saya tidak manfaatkan dahulu. Perasaan kecewa itu memang ada. 

Bercerita pula tentang wang. 

Saya mendapat tajaan biasiswa JPA sebanyak RM6300 setiap semester selama 4 tahun pengajian (Tahun 5 kes istimewa). Ditolak dengan yuran pengajian/penginapan, saya mempunyai baki lebih kurang RM4800. RM4800 ini adalah duit yang perlu saya belanjakan untuk 4 bulan (1 semester pengajian).

Cuba buat kira-kira, berapa banyak wang sebenaranya saya mampu simpan. Jika tidak mampu simpan banyak, pasti ada nilai sedikit boleh saya simpan. Sebaliknya telah berlaku, saya tidak mempunyai baki simpanan biasiswa JPA setelah tamat belajar. Paling perit, semester akhir saya tidak ditaja JPA. Alhamdulillah, ada zakat UKM :)

Apa yang saya tahu, kebanyakkan duit saya dibelanjakan untuk makan. Makan bukan sebarang makan. Boleh bayangkan pada tahun 2, hampir 3 kali seminggu saya makan makanan western di Kampung Baru. Harganya lebih kurang macam gambar di bawah. Benar, tidak salah untuk kita belanjakan duit untuk makan. Tetapi biar berpada-pada. 

Murni Cheras

Saya juga positif untuk pelajar yang terpaksa meminjam dari PTPTN sebagai contoh. Mereka juga boleh menyimpan jika mereka pandai mengurus kewangan. Segalanya perlukan komitmen dan disiplin. 

Secara konklusi mudah yang boleh saya buat:

1. Lapangkan masa untuk meningkatkan ilmu berkaitan pengurusan kewangan 
2. Buat simpanan sewaktu zaman belajar 

Sekian,

Amer Gerrard
The Typewriter 


2 comments: